Menu Tambahan
| Penginapan |
| Pelan Lokasi |
| Download K.Kerja BM |
| Download K.Kerja BI |
| Info Terkini |
Menu Terimaan
| Abstrak Diterima |
| Kertas Kerja Diterima |
Loading Poll...| Abstrak Diterima |
|
|
|
|
Risk Management and Takaful For Hotel and Tourism Industry Nooraslinda Abdul Aris Management of risk and takaful is relevant for all sort of business be it the manufacturing or service provider. The concept is applicable to both the conventional and Islamic world as the need to protect them from any calamity which results in loss of income. Redja, G.E 2003 defined risk as “uncertainty concerning the occurrence of a loss”. Since risk may result in losses, it should be managed properly to reduce the harm effect to the business. Hotel and tourism is a very dynamic and challenging business, hence a proper risk management must be in place to ensure the stakeholders will gain from it. In order to protect the stakeholders’ interest is by way of buying the insurance policy. However, since it is Islamic Hotel and Tourism, we may opt for takaful, the Islamic insurance to manage our risk. Takaful is an excellent instrument to lessen financial losses resulting from any misfortunes. Takaful does not contradict the Islamic teaching or principle since it is based on mutual cooperation between the contributors.
Homestay Bercirikan Islam : Satu Pilihan Produk Pelancongan Masa Kini Wan Zawani bt Mustafa Homestay sebagai satu daripada produk pelancongan negara pada masa kini, semakin berkembang pesat terutamanya yang bercirikan budaya Melayu-Islam. Selain menjana ekonomi, ia dapat menyerlahkan seni budaya dan warisan Islam kepada masyarakat luar. Kajian ini bagi mengenalpasti aktiviti homestay yang bercirikan Islam dan menyelami masalah dan cabaran oleh pengusaha di kawasan kajian. Berbantukan temubual dan pemerhatian di Homestay Sungai Rambai, Melaka dan Homestay Gemas, Negeri Sembilan mendapati ia berpotensi besar menjadi produk pelancongan Islam seperti majlis perkahwinan, ibadah korban, akikah, sambutan hari raya dan berzanji terutamanya kepada pelancong asing. Penyelidik mencadangkan konsep pelancongan Islam dipergiatkan lagi agar budaya Islam boleh dikenali di serata dunia, mempelbagaikan aktiviti keagamaan di masjid, termasuklah majlis berbuka puasa di bulan Ramadan, kenduri kesyukuran, ikrar sakinah di samping menyediakan kemudahan jalur lebar di kawasan berkenaan.
Menerokai Konsep Pelancongan Menurut Perspektif Islam Mohamad Zaid Mohd Zin Bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam yang sememangnya digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan. Mengembara dan merantau pada masa kini lebih ditafsir sebagai melancong. Konsepnya tetap sama. Seseorang akan keluar dari tempatnya untuk menuju ke satu tempat yang lain sama ada diketahui lokasinya atau tidak yang mempunyai tujuan yang pelbagai seperti keinginan untuk menambah ilmu pengetahuan, mempelajari budaya bangsa lain, memperkaya pengalaman, dan mengenali hal-hal yang baru di tempat lain. Pelancongan ibadah atau pelancongan keagamaan yang begitu popular pada masa kini turut dirasai oleh Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang terkenal dan kini merupakan satu-satunya negara Islam dan negara kedua dari Asia yang berada dalam kelompok 13 teratas senarai destinasi popular dunia. Hal ini dinyatakan melalui Pertubuhan Pelancongan Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UMWTO) pada tahun 2004.Justeru itu, kertas ilmiah ini cuba mengupas konsep pelancongan, merantau, mengembara dan bermusafir dalam Islam.
Isu Halal Penyediaan Makanan Dalam Industri Perhotelan: Satu Cabaran Terhadap Masyarakat Muslim Di Malaysia Nor Adila binti Mohd Noor Perkembangan yang begitu cepat dalam bidang bioteknologi akan berterusan menjana isu-isu yang mencabar etika dan keagamaan. Namun, kajian yang berkaitan teknologi halal masih belum dapat menandingi teknologi pemprosesan makanan pada hari ini. Industri perhotelan dan pelancongan juga turut mendapat impak yang sama terutamanya dari aspek penyediaan ingredien makanan yang diyakini halal kepada pelancong-pelancong muslim khususnya. Oleh itu penyelidikan dan analisis diperlukan untuk mendapatkan makanan yang memenuhi piawai undang-undang pelabelan dan memastikan keaslian makanan halal yang disediakan dalam industri perhotelan dan pelancongan. Isu berkenaan penyediaan makanan halal ini turut mendapat perhatian yang serius oleh kerajaan Malaysia sendiri sehingga direalisasikan dengan penguatkuasaan Akta Halal pada tahun hadapan. Justeru itu, kertas kerja ini akan menyentuh tentang kepentingan makanan halal, garis panduan penentuan makanan halal di Malaysia berdasarkan pandangan ulamak serta prinsip-prinsip hukum yang terpakai dalam Islam berkaitan dengan isu makanan halal. Diharapkan ia dapat menjernihkan sedikit kekalutan masyarakat muslim dalam menangani isu makanan halal dalam industri perhotelan dan pelancongan di Malaysia.
Isu Bahan Penyediaan Makanan Syubhah dalam Industri Hotel Nik Adnan Nik Mat Syubhah boleh ditakrifkan sebagai perkara yang samar, tidak terang dan tidak diketahui tarafnya samaada ianya halal atau haram. Mengambil perkara syubhah amat di larang seperti yang diperjelaskan melalui hadis ini: “Daripada Abu Muhammad al-Hasan ibn Ali ibn Abu Talib, cucu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam dan orang kesayangan Baginda. Beliau berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam: Tinggalkanlah apa yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau”. Titik tolak persoalan halal pada sesuatu produk makanan bermula dari sumber utama bahan mentah diperolehi hinggalah ke proses terakhir produk itu siap. Setiap titik penyediaan produk itu haruslah dipantau bagi mengelakkan perasaan ragu-ragu dan samar. Isu ini juga turut merangkumi teknologi pemprosesan makanan yang terkini yang menggunakan kaedah secara moden dan penggunaan pelbagai bahan pemudah makanan. Bahan pemudah biasanya digunakan untuk menjadikan penyediaan makanan lebih mudah dan makanan lebih tahan lama. Apa yang menjadi isunya ialah tentang kaedah yang digunakan untuk memperoleh sumber daging, lemak, minyak haiwan dan sumber utama yang lain. Dengan teknologi makanan terkini, semakin banyak penghasilan dan kajian berkaitan makanan dilakukan supaya ia lebih mudah disimpan, dimakan atau pembuatannya dipermudahkan dan ini membuatkan ianya lebih cenderung menghampiri perkara syubhah.
Fasiliti Hotel Mesra Pengguna Islam : Status Dan Isu Nazaruddin Derani Di antara faktor utama pelanggan memilih sesebuah hotel adalah fasiliti yang disediakan yang bersesuaian dengan keperluan mereka dan bagi pelanggan islam pula, sudah semestinya mereka memerlukan fasiliti yang dapat memenuhi keperluan agama seperti musolla, kemudahan mengambil wudhu’, tanda arah kiblat, sejadah, naskhah Al-Quran dan sebagainya. Trend terkini di dalam industri hotel di Malaysia ialah pengusaha hotel tidak mengambil kira atau tidak peka terhadap keperluan fasiliti berlandaskan syariat islam sebagai faktor utama dalam pembinaan hotel dan penyediaan fasiliti di dalam hotel mereka. Adakah ini kerana tiadanya garis panduan yang menetapkan keperluan fasiliti berlandaskan syariat islam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia sebagai keperluan utama? Jadi, tujuan utama penyelidikan ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti status terkini fasiliti yang disediakan di hotel-hotel di Malaysia terutamanya hotel antarabangsa dan mencadangkan satu garis panduan kepada pengusaha hotel di Malaysia dalam menepati keperluan berlandaskan syariat islam. Diharap dengan usaha penyelidikan ini ianya dapat membantu pengusaha hotel menyedari keperluan fasiliti yang seharusnya disediakan untuk pengguna islam.
Sikap Pengguna Islam Terhadap Penipuan Produk Halal : Kajian Di Kawasan Permatang Pauh Mohd. Hapiz B. Mahaiyadin Penipuan produk makanan halal menjadi isu utama dihadapi para pengguna Islam di Malaysia yang turut menjejaskan keyakinan terhadap status halal sesebuah produk. Bagi umat Islam, menjaga kebersihan dalam setiap aspek pemakananan merupakan suatu kewajipan syarie yang dimanifestasikan dalam konsep ‘Halalan Tayyiban’ disebabkan kaitannya dengan pembentukan fizikal, kesucian spiritual, kejernihan minda dan keberkatan hidup. Namun, kes-kes penipuan masih berlaku walaupun pihak Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hub halal dunia. Faktor utamanya, sikap pihak pengusaha, yang hanya memaksimumkan keuntungan di sebalik label halal di mana para pengguna Islam pula menjadi mangsa. Justeru, kajian ini cuba meninjau secara kritis sikap umat Islam sendiri khususnya di kawasan Permatang Pauh Pulau Pinang, berhubung kes-kes penipuan produk halal, untuk dikenalpasti tahap sensitiviti, bentuk tindakan, dan langkah-langkah preventif-agresif bagi mencegah kejadian tersebut daripada berulang semula. Kajian ini turut mengemukakan beberapa cadangan bernas kepada semua pihak ; pengguna, masyarakat, pengusaha produk dan juga kerajaan sebagai suatu usaha menjaminkan konsep ‘Halalan Tayyiban’ di Malaysia selaras dengan hasrat yang dicanangkan. Dalam hal ini, penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya para pengguna Islam sangat diperlukan selain para pengusaha produk makanan sendiri wajar menghormati sensitiviti umat Islam.
Krisis Sumber Makanan Halal dalam Sektor Pelancongan di Malaysia Nurul Khairiah Bt Khalid Malaysia sebagai sebuah Negara Islam telah melahirkan hasrat untuk menjadi hub halal serantau dengan membawa produk halal Malaysia ke seluruh dunia. Hasrat ini menjadi satu imej yang popular bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke Malaysia termasuk pelancong bukan Islam. Banyak usaha telah dijalankan bagi merealisasikan hasrat tersebut, seperti kajian dan penyelidikan dalam penghasilan produk halal, promosi produk Malaysia ke luar Negara dan pengiktirafan sijil halal oleh badan yang telah ditentukan oleh kerajaan. Umat Islam semakin yakin dalam membeli dan menggunakan produk atau perkhidmatan yang telah disahkan halal, seterusnya menghapuskan sebarang keraguan atau pertelingkahan tentang perkara tersebut. Walau bagaimana pun, sijil halal semata-mata tidak cukup bagi menjamin kualiti produk tersebut secara menyeluruh. Dalam sektor pelancongan misalnya, masih terdapat masalah mendapatkan sumber makanan halal di mana tidak semua premis termasuk hotel mendapat pengiktirafan tersebut. Hal ini memberi kesan terhadap keyakinan dan kepercayaan pelancong terhadap premis tersebut seterusnya boleh menggugat usaha Malaysia sebagai hub halal serantau. Kertas kerja ini bertujuan melihat situasi tersebut dan faktor-faktor ianya berlaku serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani krisis tersebut. Krisis sumber makanan halal perlu ditangani sebaik mungkin agar dapat membangunkan konsep pelancongan Islam dan seterusnya benar-benar menepati kehendak syariat Islam.
Etika Dan Kemahiran Berkomunikasi Pemandu Pelancong Asas Kemajuan Industri Pelancongan Negara Rukiah Mohamad Industri pelancongan merupakan antara sektor peyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara. Ianya amat berpontensi untuk berkembang dan dimajukan agar kemajuannya dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat di negara ini. Dalam Islam istilah pelancongan bukan perkara yang asing malah al-Quran menyebut ‘al-saihun’ bererti melancong atau mengembara atau merantau dengan pelbagai tujuan; melihat kebesaran Allah SWT melalui nilai estetika ciptaanNya, menambah ilmu pengetahuan, pengalaman dan kenalan. Para ulama besar dahulu melakukan pengembaraan bagi meluaskan pengetahuan mereka dalam pelbagai disiplin ilmu. Malaysia menerima pelancong dari negara luar saban tahun lantaran tarikan alam semula jadi, budaya masyarakat, hasil kesenian dan sebagainya. Sehubungan itu pemandu pelancong yang berkemahiran penting dalam industri pelancongan kerana mereka dapat menyampaikan maklumat, memberi gambaran yang jelas, tepat dan menarik mengenai negara. Memandangkan Malaysia dikunjungi ramai pengunjung atau pelancong dari seluruh dunia, kemahiran berbahasa dalam pelbagai bahasa di samping mempunyai nilai adab dan etika yang murni amat diperlukan bagi pemandu pelancong. Pemandu pelancong yang berkompeten, berketerampilan dan dapat berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dapat memberi imej dan penerangan yang baik mengenai negara. Ia mampu meninggalkan kesan yang positif kepada para pelancong untuk menarik minat mereka kembali mengunjungi Malaysia. Kertas kerja ini akan membincangkan kepentingan etika dan kemahiran berkomunikasi khususnya menguasai pelbagai bahasa untuk memberi informasi mengenai budaya, agama, dan sebagainya bagi menarik pelancong memahami Malaysia dan sekaligus mengembangkan industri pelancongan negara ini.
Masjid sebagai tarikan pelancong: Kajian Masjid Negeri Shah Alam, Selangor PM Dr. Huzaimah Hj. Ismail Najahudin Lateh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali dengan nama Masjid Negeri merupakan antara masjid yang terbesar di Asia Tenggara. Ia menjadi lambang keagungan agama Islam dan kedaulatan penganutnya di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya. Ia telah dirasmikan pada 11 Mac 1988 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Masjid ini mempunyai kehebatan dari segi struktur, seni bina serta laungan azannya. Ia menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keindahan dan kehebatannya. Selain itu, masjid ini juga turut berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu dan kegiatan kemasyarakatan untuk semua peringkat umur. Kertas kerja ini akan mengkaji tentang daya tarikan pelancong untuk mengunjungi masjid ini serta kesannya dari segi pemikiran dan penerimaan mereka terhadap institusi masjid tersebut. Selain itu, kajian ini juga akan meneliti tentang permasalahan dari sudut pengurusan masjid dalam mengendalikan urusan yang berkaitan dengan pelancong. Pengkaji juga akan turut mencadangkan penambahbaikan fungsi masjid berkaitan mekanisme pengurusan pelancong dan hubungannya dengan dakwah Islamiyyah.
Institusi Pondok Sebagai Produk Pelancongan Ilmu Islam : Kajian di Negeri Kelantan Mohd Takiyudin Hj. Ibrahim Institusi pondok merupakan antara institusi yang telah wujud sejak zaman penjajahan. Institusi ini berperanan sebagai pusat pengajian alternatif, pusat menangani gejala sosial, pusat penjanaan industri kecil dan tempat pelancongan ilmu. Institusi pondok di Kelantan majoritinya bernaung di bawah Pusat pembangunan Pondok berhad. Sehingga kini jumlah pondok yang bernaung di bawah pusat ini sebanyak 13 buah. Sistem pendidikan pondok berbentuk tradisional dan moden. Sistem ini telah banyak memberi sumbangan dari segi peningkatan ilmu kepada masyarakat melibatkan pelbagai peringkat umur dari seluruh Nusantara. Kertas kerja akan mengupas tentang peranannya sebagai pusat pelancongan ilmu, keberkesanan, kemudahan yang disediakan dan permasalahan serta cabaran yang dihadapi dalam membangunkan institusi pondok tersebut. Kajian ini akan difokuskan kepada pondok-pondok utama di negeri Kelantan.
Dasar Pelancongan Negeri Kelantan : Pelaksanaan Dan Keberkesanan Terhadap Indutri Pelancongan di Kelantan Dasar pelancongan negeri Kelantan adalah aplikasi daripada dasar membangun bersama Islam yang menjadi moto kepada negeri Kelantan. Matlamat dasar ini ialah menjadikan segala tindakan dan perancangan pelancongan di Kelantan sebagai suatu ibadah. Selain itu, ia juga bermatlamat untuk memperkenalkan institusi perkhidmatan Islam di Kelantan, mempertingkat sifat ketakwaan, memberi peluang untuk kegiatan dakwah, mengeratkan ukhuwah dan muhibah, melindungi dan memelihara keaslian alam ciptaan Allah S.W.T dan melahirkan insan yang bersyukur serta insaf kepada segala nikmat Allah melalui penghayatannya terhadap alam ciptaanNya. Kajian ini akan memfokuskan kepada strategi pelaksanaan, bentuk program dan produk yang ditawarkan, keberkesanan, permasalahan dan cabaran dalam membangunkan industri pelancongan di Kelantan.
Environmental Pressure As A Challenge To Hotel Management Based on the development experience of Malaysia in the 1970’s -1990’s, high priority for economic development at the expense of the environment, coupled with lack of strong civil pressures contributes to inadequate attention to environmental management (Kassim, 2006). However in the 21st century, Malaysia government had made environmental management as a vital policy across all contributed development industry including hospitality industry. This is due to the fact that globally throughout the 1980’s and 1990’s, environmental pressures come to affect a wider range of industries as well as the concern has now become much broader, relating not only to outputs of the operation but to the whole system (David Kirk, 1995). Although the hospitality industry may not be in the front line for the environmental concern, if the impact of all these small individual operations is added together the industry does have a significant effect on global resources. Thus, this paper will discuss about the conflicts arose due to the environmental pressure as a challenge to the small and medium hospitality industry management in Malaysia. This paper also focuses on the barriers faced by the hospitality industry in Malaysia to implement their environmental responsibilities. The paper ends with recommendations on how to overcome environmental pressure through effective environmental management and enhancement of knowledge among the hoteliers of small and medium hotels.
Pelancongan dari Perspektif Islam : Analisis Pendekatan Fiqh Melancong bukanlah suatu yang luar biasa dan diluar kotak pemikiran syariat. Al-Qur’an dan Sunah Rasulullah SAW telah memperkatakan pelancongan adalah sebahagian daripada tatanilai yang tidak terasing dalam kehidupan manusia. Dalam ertikata lain melancong adalah sebahagian daripada norma keinginan manusia yang tidak boleh dikesampingkan. Allah SWT mencipta alam dengan kepelbagaian rekabentuk, warna dan keadaan pastinya menuntut manusia untuk mencari rahsia disebaliknya. Melancong adalah jawapan yang amat signifikan ke arah pencarian rahsia tersebut. Justeru kerana melancong adalah sebahagian daripada kehidupan, memenuhi tuntutan tersebut bermaksud sebagai penyempurnaan tanda pengabdian manusia kepada pencipta. Mungkin beberapa persoalan timbul daripada pernyataan di atas. Apakah nilai, konsep dan falsafah melancong telah difahami?, apakah benar melancong satu tuntutan?, bagaimanakah melancong dapat memenuhi tuntutan tanda pengabdian kepada pencipta. Kertas konsep ini akan cuba membuat satu analisis melancong dari perspektif Islam dan penerokaan awal bagi membangunkan fiqh pelancongan.
Pelancongan Sukan dan Pengurusan Venue Di Malaysia Sektor pelancongan terus menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan ini ternyata benar apabila ianya disokong oleh statistik yang dikeluarkan oleh pihak Tourism Malaysia. Pada tahun 2007 seramai 20.9 juta pelancong telah direkodkan berkunjung ke Malaysia dengan pendapatan sebanyak RM46,070.0 juta berbanding tahun 2008 apabila ia merekodkan peningkatan sebanyak 22 juta pengunjung dengan hasil adalah RM49,561.2 juta (Tourism Malaysia, 2009). Kepentingan sektor ini terserlah apabila Kerajaan memperuntukkan RM1.3 billion dalam RM Ke 9, berbanding RM966 juta dalam RM Ke 7. Pelancongan terus berkembang dengan melibatkan pelbagai sub sektor antaranya pelancongan pendidikan, pelancongan kesihatan dan pelancongan sukan adalah satu darinya. Penglibatan Malaysia dalam pelancongan sukan begitu terserlah terutama meliputi tempoh 1997 hingga 2007 apabila pelbagai acara seperti Sukan Komanwel 1998, kejohanan-kejohanan dunia melibatkan sukan golf, hoki, ping pong, show jumping, badminton dan sebagainya telah dianjurkan. Selain dari itu penganjuran acara bertaraf dunia yang lain seperti Monsoon Cup, Le Tour de Langkawi, Formula One, Ironman Triathlon Langkawi dan sebagainya telah dianjurkan. Sesungguhnya menganjurkan acara sukan tentu sekali tidak dapat dipisahkan dengan venue atau lokasi sukan seperti stadium, arena, dewan dan sebagainya. Kepesatan yang dicapai dalam pelancongan sukan telah membantu Malaysia untuk mempunyai beberapa venue bertaraf dunia seperti Kompleks Sukan Negara, Litar Antarabangsa Sepang, kemudahan untuk perlumbaan Monsoon Cup di Pulau Duyong, Terengganu dan lain-lain. Objektif kajian ini dilakukan adalah untuk meninjau prestasi secara umum pelancongan sukan di Malaysia serta pengaruh yang dimainkan oleh venue-venue sukan terhadap pembangunannya serta meninjau permasalahan yang dihadapi dan sekaligus cuba untuk merungkaikan permasalahan dan isu yang ada.
Kajian Pembentukkan Kerangka Kerja Pengukuran Prestasi Perkhidmatan Hotel Di Malaysia Menggunakan Analisis Pensampulan Data Industri perhotelan di Malaysia merupakan salah satu komponen penjana ekonomi dan peluang pekerjaan. Salah satu faktor yang menentukan pertumbuhan positif industri ini adalah kualiti perkhidmatan yang diberikan. Secara umumnya, perkhidmatan yang berkualiti adalah perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggan. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk membentuk satu kerangka kerja yang boleh membantu pengurusan atasan hotel membuat keputusan berdasarkan unit penghasilan keputusan (decision making units). Model pengukuran prestasi ini menggunakan teknik analisis pensampulan data yang telah banyak digunakan dalam kajian melibatkan kecekapan dan produktiviti. Teknik ini adalah satu model analisis produktiviti kepelbagaian faktor untuk mengukur kecekapan relatif bagi satu set unit penghasilan keputusan (decision making units) yang homogen. Hasil daripada kajian ini, satu laporan prestasi kecekapan perkhidmatan di antara hotel-hotel yang terlibat dalam sampel akan dikeluarkan. Laporan ini akan membantu pengusaha hotel membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan.
Persepsi ibubapa atau penjaga pelajar terhadap pemilihan program Diploma Pengurusan Hotel dan Diploma Seni Kulinari : Kajian Kes Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Terengganu Kajian ini adalah berkenaan persepsi ibubapa atau penjaga pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA Terengganu (UiTM) terhadap pemilihan program kursus-kursus diploma yang ditawarkan. Penyelidik mengandaikan bahawa terdapat ibubapa atau penjaga yang mempunyai persepsi negatif terhadap program yang diambil oleh anak mereka tetapi tiada pilihan lain untuk menolak dengan mengambil kira beberapa faktor tertentu. Fokus kajian ini dilakukan di kalangan ibubapa atau penjaga pelajar di UiTM Terengganu bagi menilai andaian tersebut. Beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang yang mempengaruhi pendapat responden. Kaedah borang soal selidik digunakan bagi mengkaji faktor-faktor tersebut. Kesimpulannya didapati terdapat responden yang kurang bersetuju dengan program yang diambil oleh anak mereka.
Persijilan Halal Hotel Di Malaysia; Kajian di Bandar Raya Shah Alam, Selangor Persijilan halal dalam industri perhotelan penting untuk menarik pelancong ke Malaysia. Tanggungjawab persijilan halal di bawah pengawasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan turut dibantu oleh agensi-agensi lain di Malaysia. Antara kriteria persijilan halal dalan industri perhotelan ialah pengasingan dapur antara makanan halal dan haram, bahan-bahan yang digunakan, penyimpanan atau pengstoran bahan-bahan mentah dan sebagainya. Dalam melaksanakan semua kriteria tersebut agensi yang terlibat menghadapi pelbagai cabaran sebelum dan selepas sijil halal dikeluarkan. Kajian ini akan memfokuskan tentang kepentingan persijilan halal di kalangan pengusaha hotel, kefahaman pengusaha mengenai konsep halal, kepatuhan kepada prosedur persijilan halal secara berterusan dan penguatkuasaannya. Fokus kajian ialah di beberapa buah hotel yang terdapat di Bandar raya Shah Alam, Selangor.
Residents’ Awareness and Attitude Towards’ Shariah Compliance Hotel in Malaysia The purpose of this study is to investigate the level of Malaysians’ awareness regardless of their religion, race, or educational background towards the development of Shariah Compliance Hotel in Malaysia. This study also will examine the opinion and attitudes of Malaysian regarding the Shariah Compliance Hotel operation and development in Malaysia.. There is very limited empirical studies that focused on Islamic Compliance Hotel in Malaysia however, with the emerging and fast growing of the Halal Tourism and Islamic Hotel in world tourism industry, there are significant needs to discuss in depth about the “New concept” in the hospitality and tourism development. The Islamic countries was seen to have the resources such as human capital, expertise, and knowledge in the Islamic compliance practices in other sector but this can adapted in the hotel and tourism industry. Therefore, this research will investigate the Malaysians’ attitudes and awareness towards the development of Shariah Compliance Hotel in Malaysia at the same time indicated their level of knowledge about Shariah Compliance Hotel. Shariah Compliance Hotel was not to replace the existing hotel concept but rather to offer an alternatives hotel services and operation especially to cater the needs and wants of Muslim tourists besides welcoming the Non Muslim tourist to stay in the IHotel. This study will adapt quantitative method where questionnaire will be distributed to the residents in the Klang Valley. Correlation and factor analysis will be used to explore residents’ awareness and attitude towards Shariah Compliance Hotel development in Malaysia. This study will give a better understanding to the community and increase their level of awareness about the Shariah Compliant Hotel in Malaysia and react positively towards the existence of the hotel.
Alam Sekitar Sebagai Produk Pelancongan Daripada Kacamata Quran Dasawarsa kini memperlihatkan kerosakan alam sekitar yang amat parah. Contoh yang paling dekat kesan kerosakan tersebut ialah kebimbangan masyarat dunia terhadap perubahan iklim yang membawa kepada penganjuran United Nations Climate Change Conference (COP15) di Copenhagen pada 7-18 Disember 2009. Kebimbangan ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana tanpa penjagaan alam sekitar yang maksimum, ia boleh menjejaskan bukan hanya kehidupan manusia bahkan makhuk yang lain. Antara industri yang turut akan terjejas ialah industri pelancongan. Isu-isu yang berkaitan dengan kecantikan alam, keseimbangan alam, kebersihan dan lain-lain adalah isu-isu utama dalam pelancongan. Islam sangat menitik beratkan tentang penjagaan alam ini sebagai produk pelancongan Islam. Terdapat banyak ayat Quran yang menyentuh tentang perkara tersebut. Justeru, kertas kerja ini akan membincangkan dan membentangkan tentang penjagaan alam sekitar daripada perspektif Quran. Objektif utama kertas kerja ini adalah untuk mengemukakan kepada masyarakat bahawa Quran sebagai sumber utama dalam Islam tidak pernah mengabaikan isu-isu berkaitan dengan alam sekitar apatah lagi ia adalah produk pelancongan yang boleh mendekatkan diri kepada pencipta alam. Islam menganjurkan umatnya untuk menjaga alam kurniaan Allah ini. Segala bencana dan kerosakan yang berlaku sebenarnya adalah kesilapan manusia yang tidak menjaga amanah tersebut. Diharapkan agar kertas kerja ini dapat menyumbang ke arah kesedaran massa untuk berubah sebelum alam menjadi rosak binasa kerana tangan-tangan manusia sendiri.
Produk Pelancongan Islam : Satu Alternatif Medium Penyebaran Dakwah Pelancongan Islam merupakan salah satu aktiviti yang digalakkan dalam Islam. Selain dari penyumbang kepada ekonomi dan pendapatan Negara, pelancongan juga merupakan salah satu medium untuk menyampaikan dakwah. Dakwah ini bukan sahaja difokuskan kepada pelancong-pelancong luar, malahan masyarakat tempatan sendiri yang berminat mengenali Islam dengan lebih dekat. Selain itu juga kebanyakan produk-produk pelancongan Islam ini semakin dilupai oleh masyarakat tempatan. Oleh itu kajian ini adalah bertujuan untuk mengkaji dan menganalisis jenis-jenis produk pelancongan Islam yang sesuai diperkenalkan kepada masyarakat dan juga pelancong-pelancong luar, di samping salah satu medium dalam penyebaran dakwah. Kajian ini amat relevan dalam memperkenalkan Islam dan harus diberi perhatian yang serius ke arah memartabatkannya di mata dunia. |
| Last Updated on Monday, 05 April 2010 12:13 |


